Wednesday 4 April 2012

FB dan al-Quran, Mana lebih penting..?


Sejauh manakah prihatin kita dengan al-Quran jika dibandingkan dengan laman sosial FaceBook (FB). Panitia Agama Islam Sek. Keb. Chuping ingin mengajak para pembaca bermuhasabah dalam persoalan ini..!

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

"Bacalah (olehmu) al-Quran, maka sesungguhnya ia (al-Quran) akan mendampingi pembacanya pada hari akhirat sebagai Pemberi Syafaat / Teman" (HR Muslim)

Sunday 4 March 2012

Pinangan Umar al-Khattab ditolak


Percintaan Umar – Pinangan Di Tolak?

Ibnu Katsir meriwayatkan di dalam Bidayah Wan Nihayah, ketika Umar Al-Khattab menjadi khalifah, beliau pernah meminang adik kepada Aisyah r.a. iaitu Ummu Kaltsum. Di dalam hal ini Umar telah mengirim surat menyatakan kepada Aisyah hasratnya. Namun Ummu Kalthum berkata, “Aku tidak mahu menikahinya.”

“Apakah engkau menolak Amirul Mukminin?”, tanya Aisyah.

“Ya, sebab hidupnya miskin,” jawab Ummu Kalthum.

Akhirnya Aisyah mengirim surat kepada Amru Bin Al-Ash agar Amru berusaha memalingkan keinginan Umar dari menikahi dengan adiknya. Umar kemudian berkahwin dengan anak Ali bin Abi Talib.

Di dalam Al-Farooq Umar, pakar biografi Dr Muhammad Hussein Haekal, mengisahkan riwayat yang serupa. Dengan tambahan selain Ummu Kalthum, Umar juga pernah meminang seorang wanita bernama Ummu Aban Binti Utbah. Kedua-dua wanita itu menolak pinangan beliau dengan alasan Umar adalah seorang yang kasar, sangat garang terhadap wanita, kedekut dan selalu bermasam muka.

Umar Al-Khattab adalah antara sahabat nabi yang terjamin syurga. Semasa pemerintahan beliau, beliau telah berjaya menawan sebahagian besar jaziriyah Arab. Umar sangat berilmu sehinggakan Rasulullah pernah bersabda, “Sesungguhnya Allah telah menjadikan kebenaran pada lisan dan hati Umar.”

Beliau juga seorang yang berwibawa di dalam kepimpinan, Rasulullah pernah bersabda, “sekiranya selepasku ada nabi, sudah pasti Umar.” Namun, apabila insan kelas pertama ini meminang, pinangannya ditolak!

Justeru, jangan bersusah hati apabila pinangan anda tidak diterima. Si dia mungkin mempunyai alasan tersendiri yang tidak dapat anda fahami. Yang penting anda kenal dengan kehebatan diri anda. Senyumlah! :)

Sumber: FB

Monday 27 February 2012

Raja dan Ratu Pecut PKP Jejawi 2012

"Setinggi-tinggi tahniah kepada para pemenang, ketua kontijen dan jurulatih-jurulatih. Semoga kejayaan ini akan diulangi lagi pada tahun hadapan".
(En. Ani Bin Abdullah -GPK Ko-Kurikulum 2012)


Trio Emas 4 X 100 dan 4 X 200 (L B12)

Trio Perak dan Gangsa 4 X 100 dan 4 X 200 (P B12)



Adik Muhammad Irfan dan Muhammad Zamir (Emas dan Gangsa -pecut 200m)


Adik Muhammad Zamir (Gangsa -Lompat Tinggi)






Pencapaian SK Chuping di Kejohanan Olahraga PKP Jejawi 2012:

Emas     : 3 pingat
Perak    : 1 pingat
Gangsa : 3 pingat

Keseleluruhan, tempat ketiga.

Saturday 11 February 2012

Hukum Orang Islam Menyambut Valentine`s Day


Keputusan: 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam  Menyambut Perayaan Valentine's Day. Muzakarah berpandangan bahawa  ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.
Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. 
Keterangan/Hujah: 
Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan, budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.
Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.
Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah Islam.
Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.:


من تشبه بقوم فهو منهم     

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.”
                                                                                                                                             ( Riwayat Abu Daud)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda:


من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو مردود

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
                                                                                                                                       (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kebanyakan golongan remaja Islam hari meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan- perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.

Sumber : e-fatwa
 

Monday 30 January 2012

Ucapan GB di Majlis Persaraan Pn. Hajjah Rogayah


"Bagi saya, cikgu Rogayah bukan saja sebagai guru bahkan juga sebagai bonda kita dalam keluarga SK Chuping".

*     *     *     *     *     *
Assalamualaikum wbth,

Yang Berusaha Guru Penolong Kanan 1 En. Rosdi Bin Hamid
Yang Berusaha Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Pn. Azura Bt. Ariffin
Yang Berusaha Guru Penolong Kanan Ko-kurikulum En. Ani Bin Abdullah
Yang Dipertua PIBG En. Shariff Bin Ishak
Yang diraikan Yang Berbahagia Pn. Rogayah Bt. Matt
Seterusnya guru-guru dan murid-murid yang dikasihi sekalian.

Pertamanya, saya ingin memanjatkan sepenuh kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan izin-Nya kita dapat bertemu dalam Majlis Persaraan Cikgu Pn. Hajjah Rogayah.

Majlis persaraan yang diadakan pada pagi ini amat bermakna, bukan sahaja kepada guru-guru bahkan juga kepada murid-murid Sek. Keb. Chuping (SKC). Sesungguhnya seluruh warga sekolah amat menghargai segala jasa bakti serta keringat yang dicurahkan oleh cikgu Rogayah. Perkhidmatan, pengorbanan dan sumbangan cikgu Rogayah yang tidak pernah mengenal erti penat lelah telah membawa SK Chuping ke satu tahap yang lebih baik dan membanggakan pada hari ini. Dalam hal ini, kita amat terhutang budi terhadap perkhidmatan , pengorbanan dan kejayaan yang telah disumbangkan oleh cikgu Rogayah sepanjang berkhidmat di sini.

Percayalah, bahawa ini akan menjadi dorongan kepada kita yang masih berkhidmat untuk terus mengejar kejayaan dan seterusnya meningkatkan ketahanan serta kecekalan untuk mengharungi cabaran pada masa hadapan. Setiap kebaikan yang ditinggalkan pastinya akan menjadi ikutan dan pendorong semangat  kepada kita.

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, yang pastinya setiap perpisahan amat menyedihkan dan menyakitkan. Apabila mengenangkan kembali saat-saat ketika bersama, pasti ia akan menjadi detik kenangan paling manis yang tidak dapat dilupakan. Hari ini kita akan merasa terharu kerana perpisahan cikgu Rogayah yang kita amat sayangi. Bagi saya, cikgu Rogayah bukan saja sebagai guru bahkan juga sebagai bonda kita dalam keluarga SK Chuping.

Begitulah perasaan yang kita rasai sekarang. Berat sungguh bagi kita untuk melepaskan pemergian cikgu Rogayah, sepanjang tempoh perkhidmatan telah banyak menyumbangkan jasa terhadap kemajuan dan perkembangan SK Chuping.

Marilah sama-sama kita berdoa, semoga Allah SWT akan melimpah rahmat dan peliharaan kepada cikgu Rogayah dan seisi keluarga agar dipanjangkan usia diberikan kesihatantubuh badan dan ditambahkan ilmu pengetahuan bagi manfaat agama dan bangsa. 


Sekian, assalamualaikum wbth.

Limau manis dimakan manis
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Manis sekali hati budinya

Kalau ada pauh di daik
Bawa sebiji ke Tanah seberang
Kalau ada budi yang baik
Sampai mati dikenang orang

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara Nampak
Esok jangan layu-layuan

Ayam itik di pinggir hutan
Nampak dari tepi telaga
Nama yang baik jadi kenangan
Seribu tahun terkenang juga.


En. Azezan Bin Abdullah
27 Januari 2012 bersamaan 03 Rabi`ul Awwal 1433
11.00 pagi, Dewan SK Chuping.

Sunday 29 January 2012

Kak Gayah dan Alam Perguruan


Puan Rogayah Bt. Matt dilahirkan pada 29 Januari 1956 di Kampung Guar Syed Alwi, Perlis. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Perempuan Kangar, nama sekarang ialah Sekolah Kebangsaan Seri Perlis. Seawal usia kanak-kanak lagi Puan Rogayah banyak berdikari. Beliau berjalan kaki ke sekolah sejauh 3km setiap hari. Segala kesusahan dan kepayahan dilalui dengan sabar dan redha sehinggalah Pn. Rogayah menyambung pengajiannya di peringkat menengah di Sekolah Menengah Syed Hassan, Kangar sehingga tamat tingkatan 3. Pengajiannya tidak terhenti disitu, malah beliau menyambung tingkatan 4 dan 5 di Sekolah Menengah Dato` Syeikh Ahmad, Arau.

Minatnya pada bidang perguruan sangat tinggi, sehinggalah hasrat dan cita-citanya dimaqbulkan Allah pada tahun 1976. Maka pintu Maktab Perempuan Melayu, Melaka terbuka luas untuk beliau merealisasikan cita-cita dan hasratnya menjadi seorang ‘pendidik’. Segala penat lelah, pengorbanan dan ketekunan sepanjang di maktab, akhirnya Pn. Rogayah berjaya menamatkan pengajiannya dan bersedia untuk mula berkhidmat dan menabur bakti pada anak bangsa.

Pada tahun 1978 Pn. Rogayah ditempatkan (first posting) di Sekolah Kebangsaan Sungai Berembang. Di sanalah tempat pertama beliau mencurahkan keringat dan bakti. Juga tempat beliau membina peribadi (imej) seorang ‘pendidik’ yang hakiki. Sepanjang 8 tahun di sana, beliau disenangi oleh murid-murid, guru-guru dan warga sekolah seluruhnya.  Banyak sumbangan yang dihulurkannya demi memajukan anak bangsa.

Setelah setahun menjadi guru, Pn. Rogayah bertemu jodoh dengan insan pilihan hatinya En. Hashim bin Nordin juga merupakan seorang guru. Mahligai yang dibina atas dasar cinta dan tanggung jawab ini, dianugerahkan Allah empat orang cahaya mata. Dua lelaki dan dua perempuan. Anak-anaknya membesar dengan penuh kasih sayang, dididik dengan disiplin ilmu yang tinggi, apatah lagi ibu dan ayah mereka merupakan pendidik yang sejati.

Mesra dengan panggilan ‘kak Gayah’. Kerjaya beliau tidak terhenti disitu, bak kata bijak pandai ‘Kita merancang, Allah juga merancang namun rancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan’ rupa-rupanya jodoh beliau bukanlah berakhir di SK Sungai Berembang sahaja. Khidmat baktinya terus ditagih anak bangsa di negeri Perlis ini. Justeru pada tahun 1986 beliau bertukar ke Sekolah Kebangsaan Chuping dan berkhidmat dengan penuh dedikasi sehinggalah ke detik ini (27 Jan 2012).

Sepanjang 26 tahun di SK Chuping, pastinya banyak jaringan memori yang terpahat. Kenangan yang dibina bersama kehidupan ini pasti meninggalkan kesan yang mendalam setiap orang yang mengenalinya. Mendekatinya terasa dihargai, mudah didampingi, ceria bila diajak berbicara, mustahil untuk bergosip atau merendah-rendahkan rakan sejawatnya. Namun semua ‘seni dan hikmah’ itu bakal hilang sekelip mata apabila kita terpaksa mengiakan pemergiannya dari arena perguruan dan pendidikan.

Semoga persaraan beliau dilimpahkan kesihatan yang baik, kehidupan yang berkat, dan melalui hari-hari yang ceria dan gembira bersama anak-anak dan cucu-cucu yang semakin membesar dengan kasih sayang tok dan tokwan mereka. Aamin ya Robbal A`lamin.