Monday, 30 January 2012

Ucapan GB di Majlis Persaraan Pn. Hajjah Rogayah


"Bagi saya, cikgu Rogayah bukan saja sebagai guru bahkan juga sebagai bonda kita dalam keluarga SK Chuping".

*     *     *     *     *     *
Assalamualaikum wbth,

Yang Berusaha Guru Penolong Kanan 1 En. Rosdi Bin Hamid
Yang Berusaha Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Pn. Azura Bt. Ariffin
Yang Berusaha Guru Penolong Kanan Ko-kurikulum En. Ani Bin Abdullah
Yang Dipertua PIBG En. Shariff Bin Ishak
Yang diraikan Yang Berbahagia Pn. Rogayah Bt. Matt
Seterusnya guru-guru dan murid-murid yang dikasihi sekalian.

Pertamanya, saya ingin memanjatkan sepenuh kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan izin-Nya kita dapat bertemu dalam Majlis Persaraan Cikgu Pn. Hajjah Rogayah.

Majlis persaraan yang diadakan pada pagi ini amat bermakna, bukan sahaja kepada guru-guru bahkan juga kepada murid-murid Sek. Keb. Chuping (SKC). Sesungguhnya seluruh warga sekolah amat menghargai segala jasa bakti serta keringat yang dicurahkan oleh cikgu Rogayah. Perkhidmatan, pengorbanan dan sumbangan cikgu Rogayah yang tidak pernah mengenal erti penat lelah telah membawa SK Chuping ke satu tahap yang lebih baik dan membanggakan pada hari ini. Dalam hal ini, kita amat terhutang budi terhadap perkhidmatan , pengorbanan dan kejayaan yang telah disumbangkan oleh cikgu Rogayah sepanjang berkhidmat di sini.

Percayalah, bahawa ini akan menjadi dorongan kepada kita yang masih berkhidmat untuk terus mengejar kejayaan dan seterusnya meningkatkan ketahanan serta kecekalan untuk mengharungi cabaran pada masa hadapan. Setiap kebaikan yang ditinggalkan pastinya akan menjadi ikutan dan pendorong semangat  kepada kita.

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, yang pastinya setiap perpisahan amat menyedihkan dan menyakitkan. Apabila mengenangkan kembali saat-saat ketika bersama, pasti ia akan menjadi detik kenangan paling manis yang tidak dapat dilupakan. Hari ini kita akan merasa terharu kerana perpisahan cikgu Rogayah yang kita amat sayangi. Bagi saya, cikgu Rogayah bukan saja sebagai guru bahkan juga sebagai bonda kita dalam keluarga SK Chuping.

Begitulah perasaan yang kita rasai sekarang. Berat sungguh bagi kita untuk melepaskan pemergian cikgu Rogayah, sepanjang tempoh perkhidmatan telah banyak menyumbangkan jasa terhadap kemajuan dan perkembangan SK Chuping.

Marilah sama-sama kita berdoa, semoga Allah SWT akan melimpah rahmat dan peliharaan kepada cikgu Rogayah dan seisi keluarga agar dipanjangkan usia diberikan kesihatantubuh badan dan ditambahkan ilmu pengetahuan bagi manfaat agama dan bangsa. 


Sekian, assalamualaikum wbth.

Limau manis dimakan manis
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Manis sekali hati budinya

Kalau ada pauh di daik
Bawa sebiji ke Tanah seberang
Kalau ada budi yang baik
Sampai mati dikenang orang

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara Nampak
Esok jangan layu-layuan

Ayam itik di pinggir hutan
Nampak dari tepi telaga
Nama yang baik jadi kenangan
Seribu tahun terkenang juga.


En. Azezan Bin Abdullah
27 Januari 2012 bersamaan 03 Rabi`ul Awwal 1433
11.00 pagi, Dewan SK Chuping.

1 comment:

  1. terima kasih sudi kongsi. mohon share teks ucapannya. terima kasih didahulukan.

    ReplyDelete

Komen anda: