"Bagi saya, cikgu Rogayah bukan saja sebagai guru bahkan juga sebagai bonda kita dalam keluarga SK Chuping".
* * * * * *
Assalamualaikum wbth,
Yang Berusaha Guru Penolong
Kanan 1 En. Rosdi Bin Hamid
Yang Berusaha Guru Penolong
Kanan Hal Ehwal Murid Pn. Azura Bt. Ariffin
Yang Berusaha Guru Penolong
Kanan Ko-kurikulum En. Ani Bin Abdullah
Yang Dipertua PIBG En. Shariff
Bin Ishak
Yang diraikan Yang Berbahagia
Pn. Rogayah Bt. Matt
Seterusnya guru-guru dan
murid-murid yang dikasihi sekalian.
Pertamanya, saya ingin
memanjatkan sepenuh kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan
izin-Nya kita dapat bertemu dalam Majlis Persaraan Cikgu Pn. Hajjah Rogayah.
Majlis persaraan yang diadakan
pada pagi ini amat bermakna, bukan sahaja kepada guru-guru bahkan juga kepada
murid-murid Sek. Keb. Chuping (SKC). Sesungguhnya seluruh warga sekolah amat
menghargai segala jasa bakti serta keringat yang dicurahkan oleh cikgu Rogayah.
Perkhidmatan, pengorbanan dan sumbangan cikgu Rogayah yang tidak pernah
mengenal erti penat lelah telah membawa SK Chuping ke satu tahap yang lebih
baik dan membanggakan pada hari ini. Dalam hal ini, kita amat terhutang budi
terhadap perkhidmatan , pengorbanan dan kejayaan yang telah disumbangkan oleh
cikgu Rogayah sepanjang berkhidmat di sini.
Percayalah, bahawa ini akan
menjadi dorongan kepada kita yang masih berkhidmat untuk terus mengejar
kejayaan dan seterusnya meningkatkan ketahanan serta kecekalan untuk
mengharungi cabaran pada masa hadapan. Setiap kebaikan yang ditinggalkan
pastinya akan menjadi ikutan dan pendorong semangat kepada kita.
Setiap pertemuan pasti ada
perpisahan, yang pastinya setiap perpisahan amat menyedihkan dan menyakitkan.
Apabila mengenangkan kembali saat-saat ketika bersama, pasti ia akan menjadi
detik kenangan paling manis yang tidak dapat dilupakan. Hari ini kita akan
merasa terharu kerana perpisahan cikgu Rogayah yang kita amat sayangi. Bagi
saya, cikgu Rogayah bukan saja sebagai guru bahkan juga sebagai bonda kita
dalam keluarga SK Chuping.
Begitulah perasaan yang kita
rasai sekarang. Berat sungguh bagi kita untuk melepaskan pemergian
cikgu Rogayah, sepanjang tempoh perkhidmatan telah banyak menyumbangkan jasa
terhadap kemajuan dan perkembangan SK Chuping.
Marilah sama-sama kita berdoa,
semoga Allah SWT akan melimpah rahmat dan peliharaan kepada cikgu Rogayah dan
seisi keluarga agar dipanjangkan usia diberikan kesihatantubuh badan dan
ditambahkan ilmu pengetahuan bagi manfaat agama dan bangsa.
Sekian,
assalamualaikum wbth.
Limau manis dimakan manis
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Manis sekali hati budinya
Kalau ada pauh di daik
Bawa sebiji ke Tanah seberang
Kalau ada budi yang baik
Sampai mati dikenang orang
Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara Nampak
Esok jangan layu-layuan
Ayam itik di pinggir hutan
Nampak dari tepi telaga
Nama yang baik jadi kenangan
Seribu tahun terkenang juga.
En. Azezan Bin Abdullah
27 Januari 2012 bersamaan 03
Rabi`ul Awwal 1433
11.00 pagi, Dewan SK Chuping.