Monday, 30 January 2012

Ucapan GB di Majlis Persaraan Pn. Hajjah Rogayah


"Bagi saya, cikgu Rogayah bukan saja sebagai guru bahkan juga sebagai bonda kita dalam keluarga SK Chuping".

*     *     *     *     *     *
Assalamualaikum wbth,

Yang Berusaha Guru Penolong Kanan 1 En. Rosdi Bin Hamid
Yang Berusaha Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Pn. Azura Bt. Ariffin
Yang Berusaha Guru Penolong Kanan Ko-kurikulum En. Ani Bin Abdullah
Yang Dipertua PIBG En. Shariff Bin Ishak
Yang diraikan Yang Berbahagia Pn. Rogayah Bt. Matt
Seterusnya guru-guru dan murid-murid yang dikasihi sekalian.

Pertamanya, saya ingin memanjatkan sepenuh kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan izin-Nya kita dapat bertemu dalam Majlis Persaraan Cikgu Pn. Hajjah Rogayah.

Majlis persaraan yang diadakan pada pagi ini amat bermakna, bukan sahaja kepada guru-guru bahkan juga kepada murid-murid Sek. Keb. Chuping (SKC). Sesungguhnya seluruh warga sekolah amat menghargai segala jasa bakti serta keringat yang dicurahkan oleh cikgu Rogayah. Perkhidmatan, pengorbanan dan sumbangan cikgu Rogayah yang tidak pernah mengenal erti penat lelah telah membawa SK Chuping ke satu tahap yang lebih baik dan membanggakan pada hari ini. Dalam hal ini, kita amat terhutang budi terhadap perkhidmatan , pengorbanan dan kejayaan yang telah disumbangkan oleh cikgu Rogayah sepanjang berkhidmat di sini.

Percayalah, bahawa ini akan menjadi dorongan kepada kita yang masih berkhidmat untuk terus mengejar kejayaan dan seterusnya meningkatkan ketahanan serta kecekalan untuk mengharungi cabaran pada masa hadapan. Setiap kebaikan yang ditinggalkan pastinya akan menjadi ikutan dan pendorong semangat  kepada kita.

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, yang pastinya setiap perpisahan amat menyedihkan dan menyakitkan. Apabila mengenangkan kembali saat-saat ketika bersama, pasti ia akan menjadi detik kenangan paling manis yang tidak dapat dilupakan. Hari ini kita akan merasa terharu kerana perpisahan cikgu Rogayah yang kita amat sayangi. Bagi saya, cikgu Rogayah bukan saja sebagai guru bahkan juga sebagai bonda kita dalam keluarga SK Chuping.

Begitulah perasaan yang kita rasai sekarang. Berat sungguh bagi kita untuk melepaskan pemergian cikgu Rogayah, sepanjang tempoh perkhidmatan telah banyak menyumbangkan jasa terhadap kemajuan dan perkembangan SK Chuping.

Marilah sama-sama kita berdoa, semoga Allah SWT akan melimpah rahmat dan peliharaan kepada cikgu Rogayah dan seisi keluarga agar dipanjangkan usia diberikan kesihatantubuh badan dan ditambahkan ilmu pengetahuan bagi manfaat agama dan bangsa. 


Sekian, assalamualaikum wbth.

Limau manis dimakan manis
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Manis sekali hati budinya

Kalau ada pauh di daik
Bawa sebiji ke Tanah seberang
Kalau ada budi yang baik
Sampai mati dikenang orang

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara Nampak
Esok jangan layu-layuan

Ayam itik di pinggir hutan
Nampak dari tepi telaga
Nama yang baik jadi kenangan
Seribu tahun terkenang juga.


En. Azezan Bin Abdullah
27 Januari 2012 bersamaan 03 Rabi`ul Awwal 1433
11.00 pagi, Dewan SK Chuping.

Sunday, 29 January 2012

Kak Gayah dan Alam Perguruan


Puan Rogayah Bt. Matt dilahirkan pada 29 Januari 1956 di Kampung Guar Syed Alwi, Perlis. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Perempuan Kangar, nama sekarang ialah Sekolah Kebangsaan Seri Perlis. Seawal usia kanak-kanak lagi Puan Rogayah banyak berdikari. Beliau berjalan kaki ke sekolah sejauh 3km setiap hari. Segala kesusahan dan kepayahan dilalui dengan sabar dan redha sehinggalah Pn. Rogayah menyambung pengajiannya di peringkat menengah di Sekolah Menengah Syed Hassan, Kangar sehingga tamat tingkatan 3. Pengajiannya tidak terhenti disitu, malah beliau menyambung tingkatan 4 dan 5 di Sekolah Menengah Dato` Syeikh Ahmad, Arau.

Minatnya pada bidang perguruan sangat tinggi, sehinggalah hasrat dan cita-citanya dimaqbulkan Allah pada tahun 1976. Maka pintu Maktab Perempuan Melayu, Melaka terbuka luas untuk beliau merealisasikan cita-cita dan hasratnya menjadi seorang ‘pendidik’. Segala penat lelah, pengorbanan dan ketekunan sepanjang di maktab, akhirnya Pn. Rogayah berjaya menamatkan pengajiannya dan bersedia untuk mula berkhidmat dan menabur bakti pada anak bangsa.

Pada tahun 1978 Pn. Rogayah ditempatkan (first posting) di Sekolah Kebangsaan Sungai Berembang. Di sanalah tempat pertama beliau mencurahkan keringat dan bakti. Juga tempat beliau membina peribadi (imej) seorang ‘pendidik’ yang hakiki. Sepanjang 8 tahun di sana, beliau disenangi oleh murid-murid, guru-guru dan warga sekolah seluruhnya.  Banyak sumbangan yang dihulurkannya demi memajukan anak bangsa.

Setelah setahun menjadi guru, Pn. Rogayah bertemu jodoh dengan insan pilihan hatinya En. Hashim bin Nordin juga merupakan seorang guru. Mahligai yang dibina atas dasar cinta dan tanggung jawab ini, dianugerahkan Allah empat orang cahaya mata. Dua lelaki dan dua perempuan. Anak-anaknya membesar dengan penuh kasih sayang, dididik dengan disiplin ilmu yang tinggi, apatah lagi ibu dan ayah mereka merupakan pendidik yang sejati.

Mesra dengan panggilan ‘kak Gayah’. Kerjaya beliau tidak terhenti disitu, bak kata bijak pandai ‘Kita merancang, Allah juga merancang namun rancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan’ rupa-rupanya jodoh beliau bukanlah berakhir di SK Sungai Berembang sahaja. Khidmat baktinya terus ditagih anak bangsa di negeri Perlis ini. Justeru pada tahun 1986 beliau bertukar ke Sekolah Kebangsaan Chuping dan berkhidmat dengan penuh dedikasi sehinggalah ke detik ini (27 Jan 2012).

Sepanjang 26 tahun di SK Chuping, pastinya banyak jaringan memori yang terpahat. Kenangan yang dibina bersama kehidupan ini pasti meninggalkan kesan yang mendalam setiap orang yang mengenalinya. Mendekatinya terasa dihargai, mudah didampingi, ceria bila diajak berbicara, mustahil untuk bergosip atau merendah-rendahkan rakan sejawatnya. Namun semua ‘seni dan hikmah’ itu bakal hilang sekelip mata apabila kita terpaksa mengiakan pemergiannya dari arena perguruan dan pendidikan.

Semoga persaraan beliau dilimpahkan kesihatan yang baik, kehidupan yang berkat, dan melalui hari-hari yang ceria dan gembira bersama anak-anak dan cucu-cucu yang semakin membesar dengan kasih sayang tok dan tokwan mereka. Aamin ya Robbal A`lamin.

Thursday, 26 January 2012

Doa Majlis Persaraan Pn. Rogayah Bt. Matt


الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين

 اللهم يا رحمن يا رحيم...

Pada saat dan detik yang bersejarah ini, kami memohon ihsan dan rahmat-Mu, agar Engkau anugerahkan kesejahteraan, taufiq dan hidayah, juga ketabahan dan kekuatan kepada Yang Berbahagia Pn. Hajjah Rogayah binti Matt yang akan bersara, menamatkankan perkhidmatannya sebagai seorang guru. Moga baginya selepas bersara nanti, dilimpahkan kehidupan yang berkat, kesihatan yang baik, serta dikurniakan ketenteraman dan ketenangan jiwa.

اللهم يا منزل البركة و يا فاتح الرحمة...

Kurniakanlah kepadanya ganjaran, syafaat dan keredhaan atas segala jasa dan pengorbanan yang telah beliau curahkan, sepanjang bergelar seorang guru. Limpahkanlah rahmat dan berkat-Mu, sebagai ganjaran kepada semangat juang yang tidak pernah mengenal erti putus asa, dalam memikul tanggungjawab sebagai pendidik, pemimpin dan ibu yang sentiasa berusaha menyumbang tenaga, idea dan kepakaran, demi kecemerlangan anak bangsa.

Mudah-mudahan segala jasa, pengorbanan dan semangat beliau, menjadi pendorong untuk kami meneruskan perjuangan sebagai insan pendidik.

اللهم يا مقلب القلوب...

Bajailah hati kami dengan iman yang kukuh, hiasilah ia dilubuk hati kami, jauhkanlah kami dari perkara-perkara yang Engkau murkai, tuntunlah hati kami agar sentiasa berada di atas jalan Islam, suburkanlah perasaan cinta kepada-Mu, jua cinta kepada rasul-Mu baginda Muhammad SAW.

Ya Allah! Satukanlah hati kami, kuatkanlah silaturrahmi antara kami, jauhkanlah pra-sangka yang merosakan kesatuan kami, bantulah kami untuk menjadi warga pendidik yang meninggikan syariat-Mu. Lahirkanlah dari madrasah ini, generasi-generasi yang mentaati segala perintah Mu, jua yang takutkan azab Mu.


اَللَّهُمَّ اجْعَلْ جَمْعَنَا هَذَا جَمْعًا مَرْحُوْمًا، وَتَفَرُّقَـَنَا مِنْ بَعْدِهِ تَفَرُّقاً مَعْصُوْمًا، وَلاَ تَجْعَلِ اللَّهُمَّ فِيْنَا وَلاَ مَعَنَا وَلاَ مَنْ يَتْبَعُنَا شَقِيًّا وَلاَ مَطْرُوْدًا وَلاَ مَحْرُوْمًا. رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَة ً وَفِي الأَخِرَةِ حَسَنَة ًوَقِنَا عَذَابَ النَّار, وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ, وَالْحَمْدُلِلَّهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ.


Disumbangkan oleh: SenYum iTu SeDeKaH

Sunday, 15 January 2012

Pesanan buat penuntut-penuntut ilmu



أَخي لنْ تنالَ العِلمَ إلا بستة سأنبيكَ عن مَجمُوعِها ببَيان ذكاءٌ و حِرْصٌ و اجتهادٌ و بُلغة و إرشادُ أستاذٍ و طولُ الزَّمانِ

Saudaraku..! (Ingatlah) kamu sekali-kali tidak akan memperolehi ilmu melainkan (adanya) enam perkara. Akan ku beritakan padamu perinciannya dengan jelas: kecerdasan, minat yang mendalam, bersungguh-sungguh, bekal yang cukup (belanja), bimbingan guru, dan tempoh (belajar) yang lama.

Sumber: Diwaan al-Imam as-Syafi`e Rahimahullah.

Friday, 13 January 2012

Jawatan Kuasa Panitia Agama Islam 2012



PENASIHAT

EN. AZEZAN BIN ABDULLAH (GB)


PENGERUSI

EN. ROSEDI BIN HAMID (GPK)


KETUA PANITIA

PUAN ROSIDAH BINTI IBRAHIM (GC)


SETIAUSAHA

CIK SHARIFAH NORSYEKHA BINTI SYED MAHMOUD


AHLI JAWATAN KUASA

PN. NORHAWA BINTI ALI

PN. NORHAYATI BINTI MAT

PN. FAZLIANA BINTI BAKAR

EN. MOHD KHIDZRUL HAFIZ BIN MOHD HUSSIN

CIK FARHANA (PRAKTIKUM j-QAF)